NUNJI Dan Persoalanya Kepada Masa Depan AMANAH

skim subsidi

MELAKA. NUNJI2019′. Ketika pertama kalinya Nadwah Ulamak Nahdah Jadidah atau NUNJI dimahsyurkan di tahun 2016, ia diletakkan harapan tinggi untuk menjadi wadah tarbiyah kepada ahli gerakan parti Islam baharu, Parti Amanah Negara (Amanah). Menyedari bahawa majoriti pendokong Amanah ketika itu adalah bekas ahli Parti Islam SeMalaysia (Pas), kesegeraan mengisi ruang ini menjadi keutamaan. Pewacanaan Rahmatan Lil ‘Alamin sebagai teras perjuangan Amanah menjadi cabaran besar mengubah pendekatan dan tasawur yang selama ini tertanam di dalam pemikiran (fikr) dan perbuatan (amal) sebahagian besar ahli.

NUNJI 2019 yang berlangsung di Melaka, satu-satunya negeri yang diperintah oleh Ketua Menteri dari Amanah dihadiri hampir 1500 orang dari seluruh negara, ahli dan bukan ahli parti. Berbeza dengan NUNJI diperingkat awal yang menampilkan beberapa tokoh gerakan Islam, kali ini ia menampilkan tokoh-tokoh lokal dari pelbagai aliran, mungkin menyedari kepentingan memahami dan menghadami fiqh tempatan.

Kehadiran besar peserta di dalam NUNJI kali ini menghantar satu persoalan besar, apakah parti Amanah sudah mempunyai kaedah pentarbiyahan yang memenuhi keperluan ahli-ahlinya? Apakah parti bernuansa Islam ini mampu
menggerakkan kefahaman Islam sehingga ke semua peringkat cawangan dan ahli biasa? Apakah mesej Rahmatan Lil ‘Alamin ini tidak sekadar berlegar sebagai retorik dan wacana para ilmuwan semata, atau telah membentuk pendekatan baharu di dalam dakwah? Kehadiran seramai itu jangan hanya dilihat sebagai sebuah fenomena biasa pasca kemenangan, tetapi sebuah mesej jelas bahawa ahli parti Amanah mendambakan sebuah bi’ah atau suasana Islami yang jika tidak mampu terpenuhkan, akan menghadirkan rasa kecewa dan hampa di kalangan ahli. Walaupun ada hujahan yang mengatakan bahawa agensi kerajaan seperti YADIM, JAKIM, dan sebagainya sudah ada, tarbiyah umum tidak boleh disamakan dengan tarbiyah khusus di dalam membentuk kefahaman ahli gerakan siasah Islam.

nunji

Kredit: MelakaKini

Setelah hampir 4 tahun Amanah ditubuhkan, perlu diakui bahawa proses pentarbiyahan bergerak perlahan. Sementelah selepas kemenangan dan menjadi sebahagian dari kerajaan, kelompangan itu masih terisikan. Kesibukan memenuhi keperluan rakyat dan mendepani dakyah pembangkang, memeras tenaga pimpinan kanan dan peringkat pertengahan sehingga penumpuan kepada pentarbiyahan ahli, khususnya yang membanjiri parti selepas kemenangan tidak diurus dengan baik.

Keadaan ini menjadikan parti Amanah dilihat hampir sama dengan parti-parti lain dan imej yang membezakan ahli gerakan politik Islam dengan parti lain semakin tidak ketara. Belum lagi kita membicarakan soal kefahaman dan tanggungjawab sebagai ahli parti Islam. Dan keadaan ini tidak boleh dipikulkan sepenuhnya kepada ahli-ahli khususnya ahli baharu, tetapi bagaimana pimpinan kanan parti melihat ia sebagai sebuah cabaran yang perlu ditangani sesegeranya menjadi persoalan.

Meninggalkan parti Islam lama bukan bermakna menanggalkan semua sistem yang ada di dalam parti itu. Gerakan Islam di seluruh dunia mempunyai manhaj yang hampir sama, sama ada dari pendekatan atau sistem tarbiyah, maka Amanah tidak boleh lari dari mewajahkan dirinya hampir dengan gerakan-gerakan lain di dalam dan luar negara. Menekankan soal tarbiyah atau pendidikan tidak akan menjadikan kita kembali kepada pendekatan lama, tetapi ia adalah tuntutan jika Amanah mahu terus menjadi parti Islam disamping menawarkan inklusiviti dan keterbukaan.

Pasca kemenangan juga membuka pintu Amanah kepada puluhan ribu ahli baharu yang datang dari pelbagai latar sosial dan kepelbagaian kehendak. Kemenangan juga menghadirkan cabaran besar kepada parti untuk menangani sebilangan kecil opoturnis yang hanya mahu menunggang bagi memenuhi keperluan material dan kehormatan. Ia sesuatu yang tidak boleh dielakkan , maka sebuah sistem yang memampan keadaan ini perlu diadakan bagi mengelakkan kudis yang kelihatan kecil menjadi barah yang mematikan.

Siapakah yang mahu tampil menggalas amanah ini? Ketika pimpinan kanan memenuhi tanggungjawab pemerintah negara, pemimpin pertengahan menggalas tugas di peringkat kerajaan negeri dan kerajaan tempatan, serta pimpinan bawahan yang menguruskan pentadbiran di peringkat kampung dan taman, siapakah yang mempunyai sedikit waktu untuk disumbangkan kepada tugas yang tidak menjanjikan pulangan material ini?

Membaca dan menelurusi sirah dan juga sejarah gerakan-gerakan politik besar dunia, suatu fakta yang tidak boleh dinafikan ialah peranan pemuda-pemuda di dalam mencorak dan membentuk organisasi. Sering dilihat sebagai kumpulan pendesak , suara kelompok muda memberikan kesan besar kepada bagaimana sesebuah organisasi membawa pendekatan semasa dan masa hadapannya. Sebagai pewaris kepada sesebuah gerakan, pemuda menginsafi bahawa pencorakan yang dibuat pada hari ini, adalah wajah yang akan terpampang di masa hadapan. Jika mahu memetik buah yang baik, benih yang ditanam perlulah yang baik dan bermutu.

NUNJI 2019

Pemuda harus Bekerja keras mengisi kemenangan ini ini dengan sistem tarbiyah yang mampu memBangkitkan sebuah generasi ahli Amanah yang berWibawa dan mempunyai kefahaman jelas mengenai politik Islam. Kedangkalan dan kecelaruan yang dibiarkan akan menjadi masalah yang akan diwarisi generasi pemimpin muda pada hari ini siapapun nantinya yang akan menjadi pemimpin kanan. Demokrasi yang meraikan perbezaan pandangan dan pendekatan, seringkali menatijahkan perpecahan. Sudah tentunya ada perwakilan pemuda yang mengambil soal kemampuan calon menawarkan pentarbiyahan dan pendidikan sebagai asas memilih tokoh kepimpinan pemuda. Ketika nanti diumumkan calon siapakah yang menyandang kemenangan, cabaran pertama adalah bagaimana menyatukan kembali retak dan perselisihan.

Tugas dan kerja pentarbiyahan ini bukan sebuah matlamat tetapi sebuah proses yang berterusan. Ia akan terus berjalan dan menuntut perhatian sepanjang waktu dan ketika. Bukan sahaja ahli yang sedang menilai kemampuan kita menyediakan sebuah sistem tarbiyah kepada mereka, rakyat juga sedang memerhati sebuah parti Islam bagaimanakah mahu diwajahkan Amanah ini. Juga pesaing politik Islam, yang mencari kesalahan dan kekurangan untuk dicanangkan siapa yang paling sempurna Islamnya.

” Musuh kita adalah kejahilan, keperluan dan perselisihan. Kita akan memerangi ketiga-tiga musuh ini dengan senjata kemajuan, pengetahuan dan penyatuan. Permusuhan dan perseteruan adalah kebinasaan. Kita sebenarnya tidak mempunyai waktu untuk bermusuhan ( sesama sendiri)…” Imam Badi’uzzaman Said al-Nursi.

Haris Alimudin
Kota Kinabalu
28 Julai 2019

Add Comment

Required fields are marked *. Your email address will not be published.