Tindakan Ekstrim Pentaksub Parti Boleh Gugat Keamanan Negara

tindakan ekstrim

Hanya kerana membuat live memberi keterangan mengenai situasi semasa politik tanah air, tindakan ekstrim sekumpulan individu mendekati bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dilihat semata-mata mahu membuat provokasi sehingga boleh mengancam keselamatan.

Justeru, Pemuda AMANAH Negeri Sabah mengecam sekeras-kerasnya kejadian di Kuala Terengganu itu dan tidak boleh diterima dan sewajarnya diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

Ketua Pemudanya, Rendy Ismail berkata, ini adalah bukti jelas ketaksuban terhadap sesuatu kelompok atau parti menyebabkan mereka sanggup membuat tindakan ekstrim dan melampau.

“Mereka tidak boleh dikritik, apatah lagi apabila kita mengkritik tokoh pimpinan mereka,” ujar beliau dalam satu kenyataan yang dihantar melalui Whatsapp dari Kota Kinabalu hari ini.

Tegas beliau lagi, budaya ekstrim yang dilakukan pada era kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini tidak sewajarnya berlaku.

“Jika ini gambaran awal kerajaan PN, apakah mungkin lebih dahsyat sekiranya budaya ekstrim seperti ini terus dibiarkan?,” jelasnya ringkas.

Sebelum itu, Khalid didakwa telah dikepung dan diugut oleh lebih kurang 15 orang individu tidak dikenali selepas sesi Facebook live bersama Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah di pejabat AMANAH Terengganu pada 13 Mac lalu.

Tidak cukup dengan ugutan di hadapan pejabat, individu terbabit juga dikatakan menjejak dan mengekori dua pimpinan itu di luar kawasan ibu pejabat polis Kuala Terengganu.

Pada masa sama, Raja Kamarul yang turut berada di tempat kejadian memaklumkan, sejak kelmarin, Facebook dan WhatsApp penyokong kerajaan di negeri itu terus dihujani dengan ugutan untuk mengejar dan mencari mereka semasa laporan polis dibuat.

Pihak polis juga difahamkan telah bertindak mengawasi hotel Khalid dan menghantar berbelas anggota polis bersenjata ke Lapangan Terbang Kuala Terengganu semasa beliau hendak berlepas pulang pada pagi, 14 Mac.

Pautan

Add Comment

Required fields are marked *. Your email address will not be published.